in

Skuad hoki belasah Korea layak ke final

Gambar oleh Hockey India

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Skuad hoki negara mencipta sejarah apabila melangkah ke final buat kali pertama dalam kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023.

Malaysian Tigers yang dibimbing Arul Selvaraj mara bergaya selepas membelasah juara bertahan, Korea Selatan 6-2 dalam aksi separuh akhir di Chennai, India, sebentar tadi.

Skuad negara dikejutkan dengan jaringan padang Ji Woo Cheon seawal minit kedua, namun kedudukan itu hanya bertahan seminit apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menyamakan kedudukan juga hasil jaringan padang.

Ketika permainan memasuki minit kesembilan, giliran Malaysian Tigers pula berada di depan apabila Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyudahkan pukulan sudut penalti.

Permainan sengit terus ditampilkan kedua-dua pasukan dengan Jang Jonghyun berjaya mengikat kedudukan buat Korea Selatan pada minit ke-14.

Kejayaan Faizal Saari menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-19 kembali meletakkan Malaysia di depan sebelum Muhammad Najmi meledak gol keempat, tiga minit kemudian, lapor BH.

Dua jaringan padang yang diledak Shello Silverius pada suku keempat melengkapkan kemenangan bersejarah skuad negara dan akan berdepan pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara India dan Jepun di final.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah mara ke final ACT sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2011 dengan pencapaian terbaik adalah menduduki tempat ketiga pada edisi 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018.- nasionalkini.my

3 warga asing ceroboh kawasan rizab harimau diraja

Pengundi 6 negeri mula memilih pagi ini