in

Kuantan 7s Hockey Challenge kembali

KUANTAN, 24 September – Selepas berehat tiga tahun akibat pandemik COVID-19, kejohanan Kuantan 7s Hockey Challenge kembali menemui peminat sukan itu pada 6 hingga 8 Oktober ini.

Kejohanan akan berlangsung di Stadium Hoki Indera Mahkota, dekat Kuantan.

Setiausaha Persatuan Hoki Daerah Kuantan, Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, sebanyak 198 pasukan dari seluruh negara sudah mengesahkan penyertaan mereka untuk edisi kali ini.

“Kejohanan menawarkan enam piala untuk direbut setiap pasukan yang mengambil bahagian.

“Kita ada kategori terbuka lelaki, terbuka wanita, lelaki bawah 18 tahun, perempuan bawah 18 tahun dan lelaki dan perempuan bawah 12 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Yazid berkata, dianggarkan lebih 2,000 peserta dan pegawai bertugas akan terbabit dalam kejohanan itu.

Katanya, pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai disediakan kepada pasukan yang memenangi kategori dipertandingkan.

“Penaja utama kejohanan kali ini adalah Persatuan Hoki Daerah Kuantan di samping pelbagai lagi pihak yang turut menaja pelbagai hadiah iringan,” katanya.

Majlis penutup kejohanan dan penyampaian hadiah dijangka akan disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Katanya, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Exco Pahang, Fadzli Mohamad Kamal turut dijadualkan hadir pada majlis penyampaian hadiah itu.

Selain menyaksikan perlawanan hoki, pelbagai gerai jualan termasuk gerai cenderamata disediakan sepanjang kejohanan berlangsung.- nasionalkini.my

Agong luang masa lawat Sang Riang

Ketua mafia mati akibat kanser