in

Kembara rentas benua promosi Borneo dan Malaysia

Jack Voon akan memulakan misi mengelilingi dunia tahun depan

KUANTAN, 4 November – Kira-kira lapan tahun lalu, Jack Voon pernah melakukan kembara dengan berjalan kaki secara solo merentas Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Tahun depan, Voon yang berusia 46 tahun, ingin mencipta sejarah tersendiri – mengelilingi dunia menggunakan jalan darat.

Voon akan mengembara ke benua Asia, Arab, Afrika, Eropah,Amerika Utara dan Selatan, mengguna kereta buatan Malaysia – Perodua Kenari.

Berasal dari Sarawak, dia juga ingin membawa bersama seni budaya Borneo sepanjang kembara solonya itu.

“Saya rancang untuk memulakan kembara solo ini pada awal Februari tahun depan.

“Tempoh masa untuk melengkapkan kembara ini selama tiga tahun, melalui sempadan 108 negara termasuk Asia, Arab, Afrika, Eropah,Amerika Utara dan Selatan, mengguna kereta Perodua Kenari.

“Keseluruhan perjalanan bagi kembara solo ini adalah melebihi 200,000 kilometer,” katanya.

Voon menjelaskan objektif utama ekspedisi adalah untuk memupuk semangat perpaduan di samping memperkenalkan Malaysia kepada penduduk di seluruh dunia.

“Ini adalah impian saya sejak umur 20-an lagi, memang saya minat subjek geografi dan dari situ saya selalu memasang cita-cita untuk mengelilingi dunia,” katanya.

Voon turut mempelajari alat muzik ‘Sape’ yang sangat terkenal di Borneo dalam usaha mempromosikan seni budaya itu sepanjang kembara berkenaan.

IMG 20231023 080128 6 x 4 inch
Jack Voon mempelajari alat muzik ‘Sape’ untuk mempromosikan seni budaya Borneo

Katanya, pengembaraan itu juga diharapkan dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk melakukan perkara sama pada masa akan datang.

“Saya fikir paling penting melalui kembara seperti ini adalah pengalaman, ia bukan benda yang boleh dinilai dengan wang.

“Sebab itu saya ambil inisiatif ini untuk membawa nama Borneo dan Malaysia ke serata dunia kerana budaya kita miliki sangat menarik,” katanya yang juga seorang pereka media digital dan pemuzik amatur.

Dia berharap usahanya itu mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Katanya, kembara solo itu mendapat sokongan dari Sekolah Adat Anak Negeri Sabah – Sunduan Nabalu Kampung Lomawang, Tuaran Sabah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Sekolah Adat Anak Negeri Sabah yang memberi sokongan moral dan khusus pertahanan diri cara adat kepada saya.

“Jiwa dan semangat dari pihak sekolah adat akan saya sampaikan ke seluruh dunia.

“Setakat ini kami masih belum mempunyai penaja rasmi dan memohon kerjasama orang ramai tanpa mengira individu atau syarikat korporat dapat menyumbang dana bagi menjayakan misi ini,” katanya.— nasionalkini.my

Watson bawa cahaya Deepavali untuk Sang Riang

Lepaskan tekanan bersama go-kart