KOTA KINABALU, 15 September – Tindakan penyeludup cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan rokok di dalam sebuah rumah di Luyang, gagal apabila Kastam Sabah menyerbu rumah itu, Rabu lalu.
Dalam operasi jam 7 malam itu, Kastam Sabah berjaya merampas sebanyak 5.933 juta batang rokok bernilai lebih RM5 juta, termasuk cukai bersama seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, operasi itu dilakukan Unit Operasi Penguatkuasaan dengan kerjasama Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam.
“Semua rokok dirampas dianggarkan bernilai RM1.186 juta manakala anggaran nilai cukai dan duti berjumlah RM4.034 juta.
“Suspek masih ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang media, lapor Sinar Harian.
Sehubungan itu, Mohd Nasir berkata, masyarakat digesa supaya membantu pihak JKDM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan khususnya membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM terdekat.
“Pihak JKDM juga memberi jaminan, identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.- nasionalkini.my