KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Perak meneruskan kebangkitan daripada prestasi buruk sebelum ini apabila menewaskan Penang 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.
Bos Gaurus yang bergelut dengan masalah prestasi pada awal musim berada di depan seawal minit kelima menerusi rembatan jarak jauh pemain tengah, Luciano Guaycochea yang menewaskan penjaga gol Penang, Azfar Arif Sukri.
Kem Perak terus ceria apabila gerakan tersusun dilancarkan anak buah Yusri Che Lah disudahkan dengan rembatan deras Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-23 untuk menewaskan Azfar buat kali kedua.
Alif Ikmalrizal Anuar berjaya merapatkan kedudukan buat Penang pada minit ke-74, namun semangat Harimau Kumbang untuk terus bangkit memburu gol penyamaan direncat dengan jaringan kontroversi Seo Seonung seminit kemudian, lapor BH.
Ia kerana pemain dari Korea Selatan itu tampak berada dalam posisi ofsaid ketika dia menerima hantaran daripada Sunday Afolabi sebelum meledak gol ketiga Perak.
Kemenangan keempat dilakar Perak dalam 19 perlawanan liga musim ini membolehkan mereka mengumpul 16 mata dan menghuni tangga ke-11, hanya tiga mata di belakang Penang yang berada di kedudukan ke-10.- nasionalkini.my