KOTA BHARU, 9 Ogos – Kelantan FC akhirnya menamatkan badi kekalahan selepas menang ke atas Negeri Sembilan FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.
Kelantan menang selepas 15 kekalahan berturut-turut dengan kali terakhir menang dengan keputusan sama 2-0 ke atas Pulau Pinang FC, 5 Mac lalu pada pusingan pertama liga.
Tuan rumah terlebih dahulu ceria dengan jaringan pertama Leonardo Gabriel Rolon menerusi sepakan percuma seawal dua minit perlawanan bermula.
Rolon menggandakan jaringan selepas percubaan jarak jauh dari luar kotak penalti menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman pada minit ke 30.
Situasi dalam padang sedikit kecoh apabila pemain skuad Jang tidak berpuas hati dengan pengadil,Mohamad Faizudin Ismail minit ke-43.
Selang seminit kemudian, kekecohan sekali lagi berlaku antara pemain tuan rumah dan lawan mengakibatkan tiga pemain iaitu import Kelantan, Natanael Siringo Ringo serta dua pemain Negeri Sembilan, Filemon Anyie Standly dan Tommy Mawat Bada menerima kad kuning, lapor BH.
Keputusan 2-0 memihak kepada tuan rumah untuk separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, hantaran jarak jauh Muhaimin Izuddin pada minit ke-50 tersasar tinggi ke tiang gol lalu menafikan gol ketiga buat The Red Warriors (TRW).
Minit ke-79, skuad Jang nyaris menghasilkan gol namun bola didakap kemas Muhamad Irfan Haikal Mohd Iffendi.
Jang terus dirundung malang apabila Mohamad Hariz Kamarudin dikenakan kad kuning kedua pada babak tambahan masa kedua.
Keputusan kekal 2-0 menyaksikan Kelantan gah mencuri tiga mata berharga di tempat sendiri yang menggembiran lebih 500 penonton di stadium.- nasionalkini.my