MANJUNG, 22 Ogos – Had kelayakan pendapatan isi rumah bagi pembelian rumah kos rendah di Perak akan dinaikkan kerajaan negeri dari RM3,860 kepada RM5,000 sebulan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan tersebut yang diutarakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) akan diluluskan di peringkat Exco dalam masa terdekat.
“Perubahan kelayakan itu dapat meningkatkan bilangan kumpulan layak memohon selain memberi lebih banyak keluarga memiliki rumah mampu milik.
“Jangkaan peratusan kenaikan permohonan masih belum ada kerana ia masih di peringkat kertas kerja tetapi kita di Perak ini mempunyai tanah yang luas.
“Jadi kita sedia bermati-matian untuk mengguna pakai tanah sedia ada bagi tujuan membangunkan rumah kos rendah demi memenuhi keperluan rakyat,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis penyerahan kunci projek Rumah Perakku di Taman Perakku Serdang di Sitiawan di sini, semalam.
Pada masa sama, Saarani mengumumkan inisiatif baharu kerajaan negeri iaitu Skim Sewa Perak Sejahtera yang menawarkan rumah-rumah sewa dengan kadar sewa lebih rendah daripada pasaran.
Beliau memaklumkan, pelaksanaan program itu dimulakan dengan 12 unit rumah mampu milik di Taman Perakku Serdang.
“Harga sewa ditawarkan dengan diskaun 20 peratus dari kadar semasa yang akan memberi manfaat kepada golongan yang masih belum mampu memiliki rumah sendiri,” katanya lapor KOSMO. – nasionalkini.my