KUALA LUMPUR, 16 Julai – Perak FC akhirnya menikmati kemenangan sulung di bawah kendalian Yusri Che Lah selepas menewaskan Kuching City FC (KCFC) 2-1 di Stadium Negeri, sebentar tadi.
Kemenangan ketiga buat ‘The Bos Gaurus’ pada musim ini menyaksikan KCFC terus buntu meraih kemenangan dalam 15 perlawanan.
Permainan agak rancak disajikan kedua pasukan di mana mereka saling merencana gerakan dengan KCFC terlebih dahulu menguji seawal minit kesembilan menerusi percubaan Pedro Henrique yang tersasar.
Bagaimanapun, gol pembukaan diraih Perak FC pada minit ke-12 selepas hantaran Shafizi Iqmal Md Khirudin ditanduk Luciano Guaycochea.
Kedudukan kembali seimbang pada minit ke-31 selepas penyerang KCFC, Abu Kamara menyambut bola muntah T Shaheeswaran yang sebelum itu berjaya menepis percubaan Yuki Tanigawa.
Jaringan kemenangan yang diburu kedua-dua pasukan menjadi milik Perak FC selepas percubaan dari luar kotak penalti Seo Seonung menewaskan Shaiful Wazizi Mohammad pada minit ke-80, lapor BH.
Pelawat berpeluang menoktahkan kemenangan dengan gol ketiga namun sayangnya hantaran Seonung gagal ditampan kemas Luka Milunovic yang berada di depan gawang KCFC dua minit berselang.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN