KUALA LUMPUR, 27 Julai – Perak FC kini dalam kedudukan bahaya dan boleh tersingkir ke saingan Liga M3.
Namun pengurusan Perak FC yakin pasukan itu dapat memperbaiki kedudukan menerusi baki perlawanan separuh kedua musim ini.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, beberapa rombakan sedang dilakukan termasuk kakitangan kejurulatihan, pertukaran pemain dan penstrukturan semula strategi.
Ia adalah untuk menjadikan pasukan itu lengkap dan bermotivasi memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.
“Perak FC mengharungi pelbagai cabaran dari awal sehingga kini dan harus mengakui bahawa kami belum cukup berpengalaman dalam pengurusan bola sepak.
“Bagaimanapun yakinlah, Ahli Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Eksekutif dan Pengurusan Perak FC sedang mengadaptasi pengurusan industri bola sepak yang berkembang sejajar dengan era modenisasi kini,” katanya dalam kenyataan media, lapor Sinar Harian.
Media sebelum ini melaporkan, empat pasukan tercorot Liga Super ketika ini, Kelantan FC, Kelantan United FC, Kuching City FC dan Perak FC dalam bahaya selepas Liga Bola Sepak (MFL) mengesahkan kedudukan dua tercorot Liga Super akan tersingkir ke saingan Liga M3.
Perak FC yang berada pada kedudukan 11 liga dilihat lebih baik sedikit dengan tiga kemenangan untuk mengutip 13 mata, Kuching City FC dan Kelantan United sekadar tujuh mata manakala Kelantan FC mengumpul lima mata dengan satu kemenangan sahaja setakat ini.- nasionalkini.my