in

Perak FC mara walau kalah

IMG 20230819 022727 800 x 500 pixel
Gambar oleh Bernama

ALOR SETAR, 19 Ogos – Walaupun menang 2-1 pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia malam tadi, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa menggigit jari apabila tersingkir daripada saingan trofi berprestij itu selepas tewas 3-4 secara agregat kepada Perak FC.

Pada aksi di hadapan 9,000 penyokong di Stadium Darul Aman, Perak terlebih dahulu memiliki peluang keemasan melalui penyerang importnya, Seo Seonung yang melakukan percubaan rendah berhampiran kotak penalti tuan rumah.

Selang empat minit kemudian, Perak sekali lagi hampir membuka tirai jaringan apabila pemain importnya Luka Milunovic berjaya merembat bola masuk ke gawang Kedah, namun jaringannya itu dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

Kedah cuba mendominasi perlawanan dengan beberapa serangan ke kubu pelawat melalui Manuel Hidalgo dan juga Amirbek Juraboev namun Perak yang hadir dengan benteng yang lebih berdisiplin telah menyukarkan Kedah membuat percubaan bahaya.

Percubaan demi percubaan yang dilakukan Sang Kenari akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-26 selepas pengadil mengesan bola terkena tangan pemain Perak.

Peluang terbaik itu dimanfaatkan Hidalgo yang merembat kemas bola menewaskan Shaheeswaran Thavakumar pada minit ke-27.

Memasuki babak kedua Perak menerima tamparan hebat apabila pemain yang baru dibawa masuk iaitu Khairul Asyraff Ramli dilayangkan kad merah pada minit ke-54 selepas mengasari Juraboev.

Dengan 10 pemain Perak dilihat lebih berhati-hati dalam memastikan benteng mereka tidak lagi dibolosi.

Kedah mengambil peluang itu dengan menambah gol kedua melalui jaringan Akmal Zahir pada minit ke-82 selepas rembatannya terkena kaki pemain Perak sebelum menerjah jaring.

Kelegaan Kedah itu bagaimanapun hanya bertahan seketika apabila Perak membalas jaringan pada minit ke-85 melalui tandukan Seonung dalam insiden kelam kabut depan pintu gol Kedah.

Kedah pula hampir mendapatkan jaringan ketiga pada minit ke-86 melalui percubaan Ifedayo Olusegun tetapi percubaannya terkena tiang gol sekali gus mengecewakan tuan rumah untuk mengheret aksi ke masa tambahan.- nasionalkini.my

IMG 20230818 201731 800 x 500 pixel

PM sementara Pakistan lantik 18 menteri Kabinet

IMG 20230819 023523 800 x 500 pixel

TFC belasah KL Rovers