PARIS, 21 Julai – Paris Saint-Germain (PSG) mengemukakan tawaran yang cukup lumayan kepada Kylian Mbappe bernilai 865 juta pound (RM5 bilion).
Menurut laporan Defensa Central, PSG membuat tawaran luar biasa kepada Mbappe dengan menawarkan kontrak selama 10 tahun.
Ia akan mengikat penyerang antarabangsa Perancis itu bersama kelab berkenaan sehingga usia 34 tahun dan secara dasarnya berfungsi sebagai perjanjian seumur hidup.
Malah, ia juga akan menjadi kontrak sukan yang paling lumayan dalam sejarah.
Bagaimanapun, Mbappe dilaporkan sudah memberitahu PSG bahawa dia tidak didorong dengan wang dan memasang impian untuk beraksi bersama Real Madrid yang membolehkan dia memenangi setiap trofi yang ada.
Penyerang itu sudah memberitahu kelab bahawa dia tidak berniat untuk menandatangani kontrak baru dan merancang untuk meninggalkan kelab secara percuma pada musim panas tahun depan.
Namun, PSG memberi kata dua kepada Mbappe yang dia perlu menandatangani kontrak baharu atau akan dijual pada musim panas ini.
Penyerang itu bergelar legenda di Perancis apabila mencetak 212 gol dalam 260 perlawanan selain 98 umpanan.
Mbappe masih belum pernah memenangi gelaran Liga Juara-Juara biarpun sudah menjulang trofi Piala Dunia bersama Perancis pada tahun 2018 dan membantu pasukan itu ke final pada tahun 2022.- nasionalkini.my