ISKANDAR PUTERI, 14 Mei – Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak kemenangan dan kekal di tangga teratas liga selepas mudah menewaskan Kelantan United FC (KUFC) 6-0 pada satu-satunya aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.
Kemenangan itu memastikan skuad Harimau Selatan merealisasikan impian mereka untuk mencatat `Perfect 10′ apabila masih kekal dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 10 perlawanan liga dan mengumpul 30 mata sekali gus menjarakkan mata dengan pencabar terdekat, Selangor FC dan Sri Pahang FC yang masing-masing mengutip 22 mata, lapor BH.
Sebaik perlawanan bermula, skuad kendalian Esteban Solari mendominasi permainan dengan mengatur gerakan untuk memburu gol dan hasilnya muncul seawal minit kelapan yang berpunca daripada umpanan Endrick Dos Santos dan membuka ruang buat Bergson Da Silva yang bertindak merembat bola dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kiri gol bagi menewaskan penjaga gol, Ahmad Asyraaf Omar.
Peluang terbaik JDT untuk menambah jaringan hadir pada minit ke-18 selepas Oscar Arribas yang bertindak melakukan sepakan lencong dari luar kotak penalti namun Ahmad Asyraaf sempat melayangkan badan untuk menepis bola keluar.
Ketika aksi memasuki minit ke-22, skuad Harimau Selatan mencetak gol kedua perlawanan selepas bola umpanan Dos Santos tepat kepada Fernando Forestieri yang berada dalam kotak penalti dan tidak dikawal benteng skuad Kijang Hijau sebelum mudah merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gol untuk menewaskan Ahmad Asyraaf.
Ahmad Asyraaf hampir tertewas buat kali ketiga apabila Velazquez bertindak melencongkan bola tepat ke gawang gol selepas menerima bola umpanan Forestieri pada minit ke-39 namun palang gol menjadi penyelamat skuad Kijang Hijau daripada dibolosi.
Bersambung babak kedua, malang buat Forestieri yang sepatutnya boleh mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-46 selepas bola lorongan Arif Aiman Hanapi gagal disudahkan apabila bola tersangkut di kakinya walaupun gawang gol terbuka luas dan pemain KUFC, Muhammad Fauzan Mohd Fauzi pantas menendang bola keluar.
JDT melenyapkan sisa perjuangan skuad Kijang Hijau pada mini ke-61 selepas Forestieri yang diasak dua pertahanan pelawat sempat melorongkan bola buat Bergson yang tidak dikawal, mudah melambungkan bola untuk menewaskan Ahmad Asyraaf sekali gus meletak kedudukan selesa JDT mendahului 3-0.
Tindakan Ahmad Asyraaf yang menjatuhkan Forestieri pada minit ke-61 mengundang padah selepas pengadil perlawanan, Ahmad Zuhadi Dzulkilfi tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.
Bergson yang mengambil sepakan penalti itu melengkapkan jaringan hatrik buat dirinya pada minit ke-62 dan meletakkan Harimau Selatan selesa dengan kedudukan 4-0.
Anak didik Solari meraih sepakan penalti kedua pada minit ke-72 selepas Muhammad Fauzan mengasari Bergson dalam kotak penalti dan tugas sepakan itu mudah disempurnakan Leandro Velazuquez pada minit ke-76.
Ketika aksi memasuki minit akhir permainan yang berpunca daripada lorongan Arif Aiman membolehkan Forestieri mencetak gol kedua peribadinya bagi melengkapkan kemenangan bergaya 6-0 buat JDT. – nasionalkini.my