KUALA LUMPUR, 5 Ogos – PAS diingatkan supaya tidak memainkan isu anaktiri terhadap Kelantan apabila membabitkan masalah air.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, mengikut perlembagaan hasil tanah, pengurusan sumber alam termasuk air adalah di bawah kerajaan negeri.
“ Sebab itu satu ketika dahulu bekalan air bawah tanggungjawab kerajaan negeri bukan di Kelantan sahaja tetapi di negeri lain juga.
“Cuma awal tahun 2000 kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengenal pasti ada masalah wujud iaitu pelaburan untuk menyediakan loji rawatan air yang kosnya tinggi mencecah bilion ringgit.
“Kalau serah ikut kemampuan negeri masing-masing, kita berhadapan ada negeri yang mampu seperti Selangor dengan Pulau Pinang sebab dia kaya dan ada negeri yang tak mampu,” katanya dlam kenyataan, hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata selama 30 tahun Kelantan dijadikan anak tiri oleh UMNO.
Katanya, sebelum ini geran-geran dan peruntukan diberikan kepada negeri lain di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang bermula pada tahun 2000, tetapi Kelantan tidak diberikan.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata,kerajaan Persekutuan menubuhkan satu badan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB).
“Ini disebabkan kerajaan Persekutuan lebih mudah untuk pergi ke pasaran dan berhutang untuk menerbitkan bon air.
“Nak bina satu loji rawatan air, PAAB akan terbitkan bon hutang, kerajaan Persekutuan jamin dia boleh ambil dua tiga bilion duit itu kemudiannya digunakan wang Persekutuan untuk bina loji-loji rawatan,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan negeri pula tanggungjawabnya ialah menguruskan bekalan air, maka mereka perlu menyewa aset loji rawatan air yang telah dibayar oleh kerajaan Persekutuan sebagaimana sewaan rumah.
“Jadi tanggungjawab negeri ambil air dan agihkan kepada pengguna, kutip duit serta perlu pastikan duit yang dikutip itu cukup untuk bayar sewa mesin,” katanya. – nasionalkini.my