KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Pentadbiran Kelantan di bawah kepimpinan baharu yang diterajui Menteri Besar baharu, Datuk Mohd Nassuruddin Daud diyakini akan membawa negeri itu ke arah yang lebih cerah.
Mantan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, amanah yang diletakkan di bahu kawan-kawannya adalah tanggungjawab berat.
“Namun saya yakin kalian akan menjalankannya dengan penuh keikhlasan dan keadilan.
Beban yang diringankan daripada bahu saya sekarang adalah penyerahan kepada kalian, dan saya gembira kerana percaya kalian akan membawa negeri ini ke arah yang lebih cerah.
“Semoga Allah memberkati dan membimbing kita semua dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan penuh integriti dan kejujuran,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau pada masa sama melahirkan rasa syukur kerana rakan-rakannya diberikan peluang menerajui negeri tersebut.
“Saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk melihat perubahan positif dan kemajuan yang akan dibawa,” katanya.
Petang tadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, Datuk Nassuruddin Daud mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu.
Selain Nassuruddin, ADUN Temangan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Besar, sekali gus melengkapkan gandingan tokoh agamawan dan teknokrat dalam dua jawatan tertinggi negeri itu.
Mohd Nassuruddin dan Mohamed Fadzli masing-masing mengangkat sumpah jawatan berkenaan jam 5.30 petang di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian.
Pada masa sama, sembilan ADUN turut mengangkat sumpah sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (EXCO) termasuk lima muka baharu.
Mereka terdiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Mas, Rohani Ibrahim, Mohd. Asri Mat Daud (Demit), Zamakhshari Mohamad (Apam Putra), Hilmi Abdullah (Guchil) dan wakil tunggal dari Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Kamaruddin Md. Noor (Air Lanas). e
Selain empat muka lama yang masih lagi dikekalkan untuk sebagai Exco ialah Datuk Md. Anizam Abdul Rahman Kemahang), Datuk Dr. Izani Husin (Kijang), Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Selising ) dan Wan Roslan Wan Hamat dan (Pengkalan Kubor). – nasionalkini.my