ALOR SETAR, 14 Julai – Ifedayo Olusegun membuktikan Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak tersilap memilihnya apabila meledak dua gol ketika skuad Kenari membenam Kelantan United FC (KUFC) 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan anak buah Nafuzi Zain menyamai pungutan 34 mata Selangor dan Pahang dengan kedua-dua pasukan hanya akan beraksi esok.
Apapun, perlawanan malam ini jelas milik Ifedayo apabila penyerang itu membalas kepercayaan pasukan dengan meledak dua gol selepas turut menjaringkan gol ketika menentang PDRM FC.
Bagaimanapun, Kedah gagal menembusi gawang pelawat pada babak pertama dengan gawang mereka sebaliknya hampir ditembusi apabila rembatan Jose Porteira dari luar kotak penalti pada minit ke-26 diselamatkan palang gol.
Memasuki babak kedua, Kedah terus menggandakan usaha dengan kemasukan Fayadh Zulkifli bagi membantu menguatkan lagi jentera serangan, dan hasilnya gol yang dinanti Kedah berjaya dihasilkan pada minit ke-54 melalui Ifedayo Olusegun yang menanduk kemas hantaran pemain pertahanan, Wan Amirul Afiq, lapor BH.
Asakan demi asakan untuk menambah gol yang dilakukan Kedah berjaya mengucar-kacirkan kubu KUFC dan Ifedayo sekali lagi meletakkan bola ke dalam gawang untuk gol kedua Kedah pada minit ke-74.
Kedah terus menambah derita KUFC melalui pemain gantian Amirbek Juraboev yang berjaya merembat cantik pada minit ke-85.
KUFC yang ketinggalan tiga gol, bagaimanapun berjaya mendapat gol sagu hati menerusi jaringan Ismaheel Akinade.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN