KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ifedayo Olusegun muncul wira Kedah Darul Aman (KDA) apabila jaringannya pada babak pertama membantu skuad itu menewaskan Kuching City 1-0 di Stadium Negeri, Kuching, sebentar tadi.
Jaringan tunggal perlawanan terhasil pada minit ke-39 apabila pemain kelahiran Nigeria itu berjaya menyudahkan bola sepakan sudut Manuel Hidalgo.
Selepas itu anak buah Nafuzi Zain gagal menambah sebarang jaringan dan mereka juga bernasib baik apabila beberapa percubaan pemain Kuching City tidak menerjah jaring.
Keputusan itu menyaksikan KDA menghuni tangga ketiga mengumpul 37 mata selepas 18 perlawanan, tiga mata di hadapan Sri Pahang di kedudukan keempat.
Saingan sengit KDA dan Sri Pahang mencetuskan aksi tumpuan pada 8 Ogos ini dengan kedua pasukan akan berentap di Stadium Darul Aman, lapor BH.
Sementara itu, Kuching City yang hanya meraih satu kemenangan setakat ini pula kekal di kedudukan kedua tercorot dengan hanya mengumpul tujuh mata.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN