KUALA LUMPUR, 10 Julai – Misi membalas dendam terhadap PDRM berjaya diselesaikan Kedah Darul Aman (KDA) apabila melakar kemenangan 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
KDA yang meletakkan pemain import baharu, Ifedayo Olusegun sebagai penyerang utama hadir dengan misi membalas dendam selepas tewas 1-0 di tangan PDRM di hadapan penyokong sendiri, Mac lalu.
Bagaimanapun, aksi mengecewakan dipamer kedua-dua pasukan sepanjang babak pertama menyaksikan tidak banyak gerakan berbahaya dilakukan untuk mendapatkan jaringan, lapor BH.
Tuah akhirnya memihak Sang Kenari apabila memperoleh sepakan penalti pada minit ke-81 selepas bola terkena tangan pertahanan PDRM.
Peluang itu tidak disiakan-siakan Ifedayo yang juga penjaring terbanyak Liga Super 2020 dan 2021 untuk meletakkan KDA di depan.
Skuad kendalian Nafuzi Zain sekali lagi diberikan sepakan penalti pada minit ke-89 selepas Lee Tuck dikasari Fadi Awad dan pemain naturalisasi itu tidak melepaskan peluang mengesahkan kemenangan 2-0 Sang Kenari.
Tiga mata dari gelanggang lawan itu membolehkan KDA kembali ke kedudukan keempat liga dengan mengumpul 31 mata manakala PDRM pula di tangga kelapan dengan 22 mata.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN