JOHOR BAHRU, 14 Julai – Isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim iaitu Che Puan Besar Khaleeda Bustamam meluangkan masa menyantuni remaja perempuan Sindrom Down, Bella, dalam satu majlis tertutup, hari ini.
Menerusi hantaran di instagram miliknya, Che’ Puan Besar memaklumkan remaja yang kini berusia 13 tahun itu telah dipindahkan ke Johor Bahru dan sedang menyesuaikan diri.
“Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan perkara ini khususnya Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Khairin-Nisa Ismail serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor,” kata Che’ Puan Khaleeda.
Baginda juga turut berkongsi beberapa keping gambar ketika meluangkan masa melawat Bella dan rakan-rakannya.
Lawatan Che’ Puan Khaleeda menyantuni remaja itu bukanlah kali pertama kerana pernah menemuinya pada 15 Mei lalu yang berlangsung secara santai di legoland..
Baginda merupakan antara individu lantang memperjuangkan kes penderaan kanak-kanak istimewa seperti Bella yang dianiaya dan diabaikan ketika berada dalam jagaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun.
Remaja sindrom down itu sebelum ini mengalami kecederaan seperti melecur di tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama di tubuhnya.
Keadaannya itu mengundang kemarahan dan kekecewaan rakyat Malaysia terutama kepada pengasas pusat penjagaan itu, Siti Bainun. – nasionalkini.my