KUALA LUMPUR, 18 Jun – Gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik harus perlu berwaspada dengan peningkatan prestasi beregu India di pentas final Terbuka Indonesia, hari ini.
Rankireddy-Shetty menunjukkan peningkatan pada musim ini dengan meraih gelaran juara di Terbuka Switzerland pada Mac lalu manakala Aaron-Wooi Yik dilihat masih bergelut mencari rentak selepas kali terakhir dinobatkan selaku juara di Kejohanan Dunia, Ogos tahun lalu.
Kali terakhir kedua-dua beregu ini bertemu adalah di peringkat Kumpulan C Piala Sudirman dengan Aaron-Wooi Yik mencatat kemenangan 21-18, 21-19 pada Mei selepas turut menewaskan lawan mereka di ranking keenam dunia itu di Terbuka Denmark, Oktober tahun lalu.
Aaron melangkah mara ke final kedua mereka bagi musim ini selepas menewaskan beregu Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan 12-21, 23-21, 21-13 dalam tempoh 57 minit di separuh akhir, semalam.
Pada set pertama di Istora Senayan itu, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking ketiga dunia diberikan tentangan hebat seawal set pertama.
Mereka ditewaskan lawan yang menerima sokongan padu di laman sendiri 12-21 sebelum kembali bangkit di set kedua untuk melakar kemenangan 23-21 sekali gus mengheret ke set penentuan.
Gandingan Indonesia yang berada di ranking ke-25 dunia itu berjaya ‘dijinakkan’ Aaron-Wooi Yik sebelum melakar kemenangan 21-13 untuk menambah rekod kemenangan kepada 3-1 ke atas lawan mereka itu.
Pada edisi Terbuka Indonesia tahun lalu, Aaron-Wooi Yik kecundang di separuh akhir apabila tewas straight set di tangan gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 18-21, 13-21 dalam tempoh 38 minit. – nasionalkini.my