in

Malaysia mara ke separuh akhir Piala Thomas

20240503 002511 1
Gambar oleh Bernama

KUALA LUMPUR, 3 Mei  – Beregu lelaki nombor dua negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei muncul wira apabila menghadiahkan mata kemenangan untuk membawa Malaysia melangkah ke separuh akhir Piala Thomas, malam tadi.

Pasangan ranking ke-15 dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi pasangan Jepun yang berada di kedudukan ke-16 dunia, Akira Koga-Taichi Saito dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-15, 21-12 pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, China.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia meraih mata ketiga untuk menyingkirkan Jepun 3-1.

Lebih manis, kemenangan Izzuddin-Sze Fei hari ini menyaksikan mereka berjaya menamatkan badi kekalahan di tangan Koga-Saito selepas tewas dalam semua tiga pertemuan sebelum ini.

Meskipun tewas di set pertama, naib juara Asia itu tetap memberi tentangan sengit apabila beberapa kali berjaya menyamakan kedudukan selepas ketinggalan sebelum terpaksa akur dengan kekalahan 18-21.

Mereka bagaimanapun bangkit dengan permainan lebih kemas di set kedua untuk mencatat kemenangan 21-15 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi set penentuan berlangsung penuh mendebarkan apabila kedua-dua pasangan saling mengejar mata tetapi Izzuddin-Sze Fei berjaya menyerap tekanan dengan baik untuk menoktahkan permainan dengan kemenangan 21-12, sekali gus membawa Malaysia melangkah ke separuh akhir, lapor BH Online.

Terdahulu, mata pertama skuad negara disumbangkan perseorangan pertama Lee Zii Jia yang menewaskan Kenta Nishimoto sebelum Jepun kembali menyamakan kedudukan menerusi beregu utama, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang mengatasi Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Perseorangan kedua, Leong Jun Hao kembali meletakkan Malaysia di depan menerusi kemenangan ke atas Koki Watanabe sebelum Izzuddin-Sze Fei menyumbang mata kemenangan.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kemarau lapan tahun untuk mara ke separuh akhir sejak kali terakhir pada edisi 2016 di Kunshan, China.

Kali terakhir skuad negara menjuarai Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

DI separuh akhir, Malaysia akan bertemu China yang menewaskan India 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.— nasionalkini.my

Pengundi perlu pilih calon anak tempatan

Polis Thailand tembak mati dua lelaki bersenjata