KOTA BHARU, 17 Jun – Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan bakal menyaksikan kelainan apabila pembangkang di negeri itu iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju memilih untuk menggunakan logo masing-masing.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, setakat ini, keputusan penggunaan logo itu hanya diputuskan untuk negeri Kelantan.
“Manakala penggunaan logo bagi PH dan BN masih dalam peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan bagi PRN di Terengganu.
“Soal penggunaan logo untuk PRN di Terengganu masih dalam perbincangan. Di Kelantan, kita akan guna logo PH.
“Jadi, BN akan guna logo mereka sendiri dan PH akan guna logo sendiri (di Kelantan), tetapi tidak bertembung dari segi kerusi yang ditandingi,” katanya.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, perbincangan berhubung pembahagian kerusi DUN berada dalam keadaan baik dan disifatkan dalam mood yang positif.
“Penyelesaian pembahagian kerusi di Kelantan juga agak cepat, bagi saya mood sangat positif, seperti yang saya pernah beritahu sebelum ini, kita nak pastikan ada semak dan imbang di DUN Kelantan nanti, itu misi PH dan BN,
“Alhamdulillah… kita tak ada masalah. Malam ini pun kita ada program ceramah bersama Amanah dan UMNO di Kota Lama, Kota Bharu.” katanya.
DUN Kelantan, yang mempunyai 45 kawasan, bakal dibubar pada 22 Jun ini untuk memberi laluan kepada PRN.
PH akan bertanding 14 kerusi DUN manakala BN pula 31 kerusi pada PRN tidak lama lagi. – nasionalkini.my