KUALA LUMPUR, 18 Jun – Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kempunan meraih gelaran pertama tahun ini selepas dikejutkan pasangan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di final Terbuka Indonesia, petang tadi.
Gandingan negara yang juga juara dunia itu tumbang straight set 17-21, 18-21 di tangan pasangan dari India yang menghuni ranking keenam dunia pada aksi di Istora Senayan.
Lebih memeritkan, ini kekalahan pertama Aaron Chia-Wooi Yik di tangan Rankireddy-Shetty selepas unggul memenangi lapan pertemuan sebelum ini.
Aaron Chia-Wooi Yik mendahului 7-3 pada set pertama namun gandingan negara membenarkan beregu lawan mengutip mata demi mata sehingga mereka mendahului 9-7 dan gandingan dari India itu mendahului 11-9 untuk ‘interval’ set pertama.
Selepas ‘interval’ set pertama, gandingan Malaysia terus ketinggalan 15-18 dan sekalipun cuba mengejar sehingga 17-19 namun mereka terpaksa akur tunduk set pertama 17-21 dalam tempoh 18 minit.
Set kedua menyaksikan kedua-dua gandingan saling bertukar mata demi mata sebelum Rankireddy-Shetty berjaya mendahului 11-7 dan jurang mata menjadi lebih besar selepas gandingan negara ketinggalan 11-18.
Gandingan negara berjaya mengejar sehingga kedudukan 18-20 namun gandingan dari India itu meraih mata ke-21 selepas pukulan pemain negara sangkut di net sekali gus menoktahkan kemenangan 21-18 dalam tempoh 23 minit.
Untuk rekod, juara acara beregu Terbuka Indonesia yang berstatus Super 1000 bakal membawa pulang AS$92,500 (RM426,841) manakala naib juara AS$43,750 (RM201,884). – nasionalkini.my