Iskandar Zulkarnain
PULANG ke gagang, penulis meminjam kata-kata Perdana Menteri di persidangan Dewan Negara, pagi semalam sebelum pelantikan Yang Dipertua baharu.
Gelombang penolakan terhadap Commissario Tecnico Itali, Roberto Mancini dilihat reda susulan daripada kemenangan tipis 3-2 ke atas Belanda dalam saingan tempat ke tiga Nation League, kelmarin.
Walhal sebelum itu beliau menimbulkan rasa meluat dalam kalangan peminat dengan sikapnya. Mengulangi perkara yang dilakukan ketika menerajui Inter Milan suatu ketika dahulu.
Malah, ada yang lebih agresif meminta beliau supaya melepaskan jawatan selaku jurulatih utama Azzurri.
Penulis mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana masalah yang timbul tidaklah sebenar mana. Lainlah kalau-kalau Itali tidak layak ke Piala Eropah atau Dunia sekali lagi.
Itali pulang ke gagang membawa makna besar, ia mungkin mengambus prestasi turun naik mereka sebelum ini.
Kekalahan ke atas Sepanyol sebelum itu tidak boleh diterima kerana Mancini mengulangi kesilapan sama.
Beliau menagih kudrat lama selaku teraju utama ketika berdepan kuasa bola sepak dunia meskipun pada hemat penulis ianya tidak salah.
Apa yang tidak betul adalah perkara tersebut dibuat pada waktu yang salah kerana pengganti mereka dilihat lebih cemerlang.
Peminat mahukan permulaan yang kuat menentang La Roja namun Mancini berbuat sebaliknya.
Ciro Immobile, Jorginho, Leo Bonucci dan Leo Spinazzola yang diturunkan menentang Sepanyol sudah melepasi garis waktu, prestasi terbaik mereka kini hanya tinggal kenangan.
Ramai mempersoalkan keperluan Mancini menanam persepsi kononnya Itali sudah ketandusan bakat dan perlukan naturalisasi.
Khabarnya tiada lagi kanak-kanak bermain bola di lorong-lorong jalan seperti mana Brazil dan Argentina.
Bila peminat sudah mula menghadam dan memahami alasan itu, akhirnya bakat naturalisasi yang didambakan diperam di bangku simpanan. Siapa tidak geram.
Peminat mahu melihat bayangan legenda Bobo Vieri baharu iaitu pemain kelahiran Argentina, Mateo Retegui, begitu juga barisan tengah dan pertahanan yang lebih segar.
Bryan Cristante, Davide Fratessi itu segar, ditabur sedikit pengalaman Marco Verrati ia dilihat sebagai secukup rasa. Ini formula ketika berdepan Belanda tempoh hari.
Percaturan Mancini menjadi kali ini, Azzurri kembali kepada formasi 4-3-3 dan ini sedikit mengimbau kenangan ketika menjuarai Piala Eropah 2022.
Debut Alessandro Buongiorno menarik perhatian, pertahanan muda ini dilihat kental dan tenang. Tiada siapa boleh menidakkan air tangan Ivan Juric dalam melahirkan pertahanan berkualiti.
Jika tidak kerana ada Kejohanan Remaja B-21 UEFA, Giorgio Scalvini pasti akan dipanggil sama dan menambahkan lagi keyakinan peminat terhadap pasukan.
Apa yang pasti setiap kegagalan ada hikmahnya. Penulis melihat Azzurri kini semakin fleksibel dan tidak lagi rigit dengan satu-satu pendekatan. Mereka boleh bermain dalam apa jua formasi.
Inilah landasan yang dimahukan, mungkinkah perkara ini dirancang oleh Mancini atau semenangnya beliau sendiri pun tak tahu. – nasionalkini.my