SEREMBAN, 20 Jun – Negeri Sembilan memperuntukan hampir RM2 juta termasuk insentif hapus kira pinjaman kepada anak-anak Negeri Sembilan yang cemerlang dalam pendidikan..
Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus menghargai dan mengiktiraf budaya kerja cemerlang masyarakat termasuk mahasiswa.
Katanya, insentif yang diberikan kepada anak-anak cemerlang tersebut bukan sekadar pendorong atau pengiktirafan kepada pelajar tetapi juga diharap mampu menjadi peneraju kepada perubahan positif, dalam membudayakan kecemerlangan dalam kehidupan.
“Mahasiswa adalah tonggak kepimpinan masa hadapan kerana mereka semua akan mencorakkan dan mewarisi pentadbiran akan datang.
Kerajaan negeri berharap penganjuran majlis ini diharap dapat menggalakkan pelajar untuk terus berusaha dengan memberikan komitmen kepada pengajian dan menekankan kepada budaya kecemerlangan,” katanya.
Terdahulu, beliau hadir ke Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan di Klana Resort.
Pada majlis berkenaan seramai 363 siswazah kalangan anak Negeri Sembilan menerima hadiah penghargaan RM5,000 daripada kerajaan negeri di atas pencapaian memperoleh ijazah kelas pertama dari institusi pengajian tinggi (IPT).
Aminuddin berkata, pihaknya yakin pengiktirafan dan penghargaan diberikan itu diyakini mampu melonjakkan motivasi kepada graduan yang lain bagi mencapai kecemerlangan. – nasionalkini.my