JOHOR BAHRU, 27 Jun – Pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi enggan dibuai pujian apabila melakar hatrik bagi memastikan kemaraan pasukannya ke final selepas menewaskan Selangor FC 4-0 pada separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Pemain Paling Bernilai (MVP) liga tempatan itu menganggap rezeki hadir buatnya kerana mampu menjaringkan hatrik sekali gus membantu JDT mara ke final kali kedua berturut-turut.
Selepas prestasi kurang memberangsangkan dalam tiga aksi Liga Super, dia bekerja keras ketika bersama skuad kebangsaan dan disambung bersama JDT.
“Memang dalam beberapa perlawanan liga saya agak kurang menyerlah tapi saya perlukan masa untuk kembali mendapat rentak permainan dan apa yang saya lakukan adalah berusaha dalam setiap sesi latihan.
“Tambahan lagi untuk berada dalam kesebelasan utama memang sukar dan saya perlu berada di tahap permainan terbaik ketika latihan dan tidak boleh bersikap sambil lewa kerana perlu bersaing dengan pemain lebih berpengalaman.
“Saya belajar memperbaiki kelemahan daripada pemain senior dan import yang tidak lokek ilmu apabila memberi tunjuk ajar mengenai teknik permainan yang lebih berkesan,” katanya kepada BH.
Malah katanya, pengendali JDT, Esteban Solari tidak pernah berputus asa untuk memberi kata-kata semangat dan motivasi bagi mempertingkatkan lagi kualiti permainannya.
“Dalam bola sepak tiada erti anda sudah pandai… banyak lagi proses yang perlu saya harungi dan ia akan berterusan untuk saya belajar kerana tiada noktah selagi mahu mengetahui teknik permainan yang lebih mantap bagi memberi impak positif,” kata Arif Aiman, yang meledak empat gol ketika Harimau Malaya membelasah Papua New Guinea 10-0 pada aksi persahabatan di Kuala Terengganu minggu lalu. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN