Oleh Yusuf Shafie
AYER KEROH, 27 Jun – Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas April lalu.
Kedua tertuduh, Noorbaizura Mohd Fuad, 34 dan Muhammad Faris Amjad Jamalludin, 24, bagaimanapun hanya menunduk faham sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki, Tan Kue Seng, 71.
Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Gapam, Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 7 pagi hingga 9 pagi, 9 April lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukan hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishar, pada prosiding itu tidak mencadangkan sebarang jaminan.
Kedua tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Mazana menetapkan 22 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.
Sementara itu dalam prosiding berasing di Mahkamah Sesyen, Muhammad Faris turut didakwa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam atas dua pertuduhan merompak warga emas berusia 69 tahun sehingga menyebabkan mangsa cedera dan melarikan beg tangan seorang wanita berusia 34 tahun.
Perbuatan dilakukan di Taman Kota Laksamana pada 22 Mac lalu dan di Taman Kesidang pada 8 April lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda serta sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Selain itu, tertuduh juga boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda dan sebat bagi hukuman dibawah Seksyen 392 kanun sama.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan tarikh 1 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak 9 April lalu ditemui ahli keluarganya dalam keadaan tidak bernyawa di dalam longkang di Jalan Gapam dua hari selepas itu.
Mayat Kue Seng dan motosikal ditunggangi ditemui anaknya kira-kira pukul 8 pagi di dalam longkang tempat kejadian.
Sebelum ini, kehilangan warga emas itu turut tular di media sosial yang meminta bantuan orang ramai mencari mangsa. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN