Oleh : Adnan Mohamad
SETIU, 18 Mei – Seorang warga emas yang hidup terlantar di katilnya sejak tujuh tahun lalu terharu apabila menerima kehadiran rombongan Badan Kebajikan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi yang menyampaikan sumbangan makanan hari ini.
Munah Shafie, 73, yang tinggal di Perumahan Awam Kos Rendah Anak Ikan, Jabi, di sini, pada awalnya tidak menduga badan kebajikan itu datang ke rumahnya tanpa memaklumkan kepada keluarganya.
“Namun, saya bersyukur dan Alhamdulillah, ada juga insan bersimpati dengan nasib saya yang terlantar di atas katil selama ini tidak dapat bergerak ke sana ke mari seperti orang lain. Saya amat menghargai sumbangan itu sebagai kecaknaan mereka kepada mak cik,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.
Munah menghidapi penyakit lumpuh kini tinggal bersama seorang anaknya, Rozainah Jusoh, 48, selepas warga emas itu terbabit kemalangan jalan raya di Kampung Anak Ikan kira-kira tujuh tahun lalu.
Akibat kemalangan itu, Munah yang mempunyai tiga orang anaknya turut mengalami penyakit saraf dan setiap pergerakannya serta makan minumnya diuruskan oleh Rozainah.
Sumbangan makanan itu disampaikan oleh Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Setiu, Rosmariza Abd Majid yang turut dihadiri Setiausaha badan kebajikan itu, Sukri Mohd.
Rosmariza berkata, selain Munah, pihaknya juga turut menyumbang kepada sembilan warga emas lain termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) di kawasan Jabi. – nasional kini.my