Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 18 Mei – Kejayaan model koperasi sekolah di negara ini membuka mata Kemboja dan Filipina untuk meminta bantuan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mewujudkan konsep sama di negara berkenaan.
Presiden ANGKASA Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini, dua negara itu masih belum mempunyai koperasi sekolah berbanding Malaysia yang terdapat lebih 2,500 koperasi dianggotai kakitangan, guru dan pelajar berusia 12 hingga 18 tahun.
“Setakat ini, Kemboja yang mempunyai lebih 10,000 buah sekolah sudah mengenal pasti dua buah sekolah untuk diwujudkan koperasi ala model Malaysia manakala Filipina kita baharu di peringkat persetujuan dasar.
“Tahun ini, ANGKASA sasarkan setiap negara ASEAN akan wujudkan model koperasi sekolah ala Malaysia dalam usaha memperkasakan peranan kami terhadap ahli koperasi di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ANGKASA Melaka dan Suruhanjaya Koperasi Melaka di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Turut hadir Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna negeri YB Allex Seah Shoo Chin.
Ditanya mengenai contoh model koperasi sekolah Malaysia berbanding negara lain, Abdul Fattah berkata, negara menggabungkan ahli lembaga koperasi dengan kombinasi lapan pelajar dan tujuh guru.
“Ada negara yang koperasi mereka bukan dianggotai pelajar menjadikannya lebih kepada pengurusan sekolah sedangkan ia sepatutnya mendedahkan pelajar tentang semangat keusahawanan.
“Ini juga bertepatan dengan sasaran kerajaan menjadi Malaysia sebagai negara usahawan menjelang 2030,” katanya – nasionalkini.my