Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 13 Jun – Empat remaja ahli sindiket penipuan dihadapkan ke Mahkamah Melaka, hari ini atas pertuduhan membelasah, merompak dan menyimpan video lucah seorang remaja bawah umur yang enggan bekerja dengan mereka bulan lalu.
Kesemua tertuduh, Soh Sun Hung, 20, Yap Kah Seng, 22, dan dua lagi remaja lelaki berusia 15 dan 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Majistret Nurul Asyikin Rosli.
Mengikut pertuduhan di hadapan Mohd Sabri, kesemua tertuduh sebagai majikan kepada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun telah menganiaya mangsa dengan cara mencederakan menggunakan tangan, kaki, tali dan sebatang besi.
Kesalahan itu dilakukan antara 8 malam hingga 1 pagi 28 Mei lalu di sebuah rumah di Jalan Klebang Jaya,Taman Klebang Jaya di sini.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau dengan kedua-duanyanya sekali di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Keempat-empat tertuduh turut didapati telah melakukan rompak dengan sengaja menyebabkan cedera kepada remaja berkenaan pada masa, lokasi dan tarikh yang sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sementara itu dalam prosiding dihadapan Majistret Nurul Asyikin, kesemua tertuduh secara bersama berdepan pertuduhan memiliki bahan-bahan lucah di dalam telefon bimbit.
Perbuatan itu dilakukan di No 56, Jalan Jati 6, Taman Jati Hang Tuah Jaya, kira-kira pukul 3.45 petang 31 Mei lalu.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal dan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin manakala tertuduh diwakili peguam Joel Chua.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM23,500 bagi semua pertuduhan dan kes akan disebut semula 14 Julai ini.
Media sebelum ini melaporkan kegiatan sindiket itu terbongkar susulan polis menerima aduan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mendakwa dipukul dan disamun sekumpulan lelaki disyaki terbabit kegiatan penipuan dalam talian. – nasionalkini.my.