SEREMBAN 7 Mei – Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan berjumlah lebih RM1 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan infra rakyat di Negeri Sembilan.
Memetik laporan Berita Harian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia menjadikan keseluruhan jumlah peruntukan pembangunan disediakan Kerajaan Pusat khusus untuk Negeri Sembilan bagi 2023 adalah berjumlah RM1.27 bilion.
Peruntukan pembangunan itu merangkumi projek membina jalan dan jambatan baharu, infrastruktur pendidikan, pembinaan rumah ibadah serta menaiktaraf klinik kesihatan daif.
“Projek baharu bagi 2023 di Negeri Sembilan itu termasuklah membina Jalan Susur Dari Tol Baharu Seremban Ke Lingkaran Tengah Seremban, Negeri Sembilan dengan kos projek RM600 juta.
“Membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dengan Sungai Pelek membabitkan kos projek RM160 juta,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS), hari ini.
Mengulas lanjut Anwar berkata, kerajaan juga meluluskan pembinaan fasiliti bagi Kementerian Pendidikan (KPM) membabitkan kos projek keseluruhan RM280 juta. Ini termasuk membina semula dan membaikpulih sekolah-sekolah daif serta memperkukuhkan pendidikan khas.
“Klinik kesihatan juga ada yang daif. Menteri Besar (Aminuddin) bising dengan saya, nama klinik kesihatan, tapi klinik pun tak sihat. Oleh itu, kita siapkan perbelanjaan di Jelebu, Kuala Pilah, Jempol, Port Dickson, Rembau, Seremban dan Tampin berjumlah RM5.8 juta.
“Masjid baru, Masjid Terapung Port Dickson; Masjid Kariah Ulu Beranang Seremban; Masjid Kariah Talam Tengah di Kuala Pilah; Masjid Diraja Tunku Munawir di Sri Menanti dan Masjid Kariah Bongek di Rembau dengan perbelanjaan RM318 juta. Jadi, keseluruhan peruntukan pembangunan RM1.27 bilion,” katanya.
Anwar juga mengumumkan kerajaan bersetuju menyediakan kemudahan peruntukan berjumlah RM457 juta bagi menyelesaikan beberapa masalah di kawasan segi tiga pertumbuhan baharu Negeri Sembilan.
“Ada masalah yang dibangkitkan iaitu di kawasan segi tiga pertumbuhan baharu Negeri Sembilan jajaran Seremban, Nilai dan Port Dickson serta kawasan Malaysia Vision Valley dan untuk itu, kemudahan tambahan RM457 juta disediakan,” katanya. – nasionalkini.my