Oleh Luth Adwa
JOHOR BAHRU, 26 Jun – Duit lebih RM11,000 dimiliki dalam akaun bank milik seorang ejen insurans ‘hilang’ sekelip mata dan hanya berbaki RM1 sahaja.
Ia sekali gus menyebabkan bapa kepada tiga orang anak itu terkedu apabila wang gaji diperuntukkan untuk perbelanjaan bulanan keluarganya lesap entah ke mana.
Mangsa, Koo Kah Peng, 53, berkata, ketika memeriksa baki akaun banknya secara dalam talian pada pukul 11 pagi, 20 Mei lalu, dia mendapati wang dalam akaun tersebut sebelum ini berjumlah RM11,093.
Namun, apabila diperiksa hari ini, ia ‘hilang’ dan hanya tinggal RM1.
“Setelah mendapati wang dalam akuan hilang semua dan hanya tinggal RM1 sahaja, saya bimbang mungkin kad bank saya tercicir, tetapi setelah periksa ia tidak hilang.
“Saya kemudian terus ke cawangan bank berkenaan bagi mendapatkan penjelasan sebelum mereka menunjukkan rekod transaksi berlakunya pemindahan wang ke akaun bank seorang lelaki tidak dikenali bernama Nicholas.
“Transaksi pemindahan wang itu dibuat sebanyak empat kali dalam tempoh enam minit iaitu antara pukul 10.19 pagi hingga 10.25 pagi, melibatkan kerugian sebanyak RM11,092,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Kah Peng berkata, dia tidak mengenali lelaki tidak dikenali bernama Nicholas dan tidak pernah membenarkan sebarang pemindahan wang daripada akaun bank miliknya dibuat oleh mana-mana pihak.
Disebabkan kejadian itu katanya, pihak bank terlibat masih menjalankan siasatan bagaimana transaksi wang boleh berlaku. – nasionalkini.my