KUALA LUMPUR 26 Jun – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan kebimbangan terhadap penyalahgunaan kuasa veto yang disifatkan sebagai satu masalah besar.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kuasa veto sering disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya dan ia tidak demokratik serta melanggar prinsip hak asasi manusia.
Tegas beliau, perkara ini akan menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan. Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya.
“Perdagangan antara negara hampir bebas dilaksanakan. Aktiviti ekonomi antara negara kapitalis dan sosialis berjalan seolah-olah bebas tanpa sekatan.
“Jadi mengapa tidak PBB dan seluruh anggotanya berusaha untuk menjadikan dunia sebagai satu keluarga besar yang sempurna. Menjadi keluarga dunia sejati. Menjadi keluarga dunia yang aman damai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum di Universitas Pertahanan Republik Indonesia di Jawa Barat, Indonesia, hari ini.
Pada masa sama, Ismail Sabri turut berkongsi bagaimana beliau mencadangkan agar dilahirkan Keluarga ASEAN, semasa Sidang Kemuncak ASEAN secara maya pada 26 Oktober 2021.
Menurutnya, negara-negara ASEAN boleh menjalinkan hubungan rapat sehingga tidak timbul langsung perasaan curiga serta syak.
“Kemesraan itu boleh mengubah perbelanjaan negara yang tidak produktif kepada perkara sebaliknya. Sebagai contoh, hampir seluruh negara ASEAN membelanjakan sejumlah peruntukan yang besar kepada bajet pertahanan. Sedangkan kita tahu, bahawa perbelanjaan untuk senjata bukanlah produktif. Jadi untuk apa perbelanjaan berbilion dolar ini?.
“Sekiranya, kita negara-negara ASEAN dapat melahirkan kepercayaan sejati antara negara anggota, maka bajet tersebut tidak diperlukan. Mungkin ianya boleh digunakan untuk pelajaran percuma kepada para pelajar atau kesihatan percuma untuk rakyat,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, keamanan sejagat merupakan tanggungjawab global dan oleh itu, setiap pihak wajar melaksanakan pelbagai cara untuk mengekalkan keamanan negara dan antarabangsa.
“Dalam bahasa yang mudah bahawa ‘keamanan sejagat’ yang dimaksudkan adalah keamanan yang diperolehi secara alamiah, di mana bukan terhasil dari perang.
“Saya menolak konsep ‘keamanan sedunia’ yang menggunakan kekuatan senjata atau memenangi perangan untuk membentuk keamanan. Perang tidak dapat diselesaikan dengan perang untuk mencapai perdamaian.
“Justeru, saya mengajak para hadirin berdoa sambil berusaha, agar seluruh kepimpinan dunia melalui PBB, berikhtiar mencari jalan supaya segala bentuk konflik atau peperangan dapat diatasi,” katanya. – nasionalkini.my