in

Serba Dinamik gagal kemuka laporan kewangan lagi selepas ‘kehilangan pekerja’

WhatsApp Image 2023 06 01 at 10.16.42
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 1 Jun – Serba Dinamik Holdings Bhd. dijangka mengumumkan laporan kewangan suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 (3QFY23) pada 7 Jun ini setelah gagal memenuhi tarikh akhir ditetapkan pada 31 Mei 2023.

Kumpulan memberi alasan kegagalan itu disebabkan ia ‘mengalami kehilangan pekerja dan kakitangan kritikal yang ketara’.

“Lembaga Pengarah ingin mengumumkan bahawa syarikat tidak dapat mengeluarkan Laporan Suku Tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2023 dalam tempoh masa, tidak lewat daripada 31 Mei 2023.

“Oleh itu, pihak lembaga menegaskan bahawa mereka sedang melaksanakan langkah yang serius bagi mengenal pasti calon pengganti yang sesuai untuk membetulkan isu ini,” jelasnya dalam makluman di Bursa Malaysia.

Pada suku kedua berakhir 31 Disember 2022 (2QFY23), penyedia perkhidmatan kejuruteraan dalam minyak dan gas itu merekodkan kerugian bersih yang lebih rendah sebanyak RM89.67 juta daripada RM290.33 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Pendapatannya pada suku berkenaan juga susut kepada RM105.8 juta daripada RM177.14 juta.

Dagangan saham Serba Dinamik digantung buat sementara waktu pada 23 Disember 2022 kerana kegagalannya menyerahkan laporan tahunannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) menjelang tarikh akhir lanjutan ditetapkan pada 15 Disember 2022.

Kumpulan itu akhirnya menyerahkan laporan tahunan, bersama penyata kewangan terauditnya untuk FY22, kepada Bursa Malaysia pada 12 Januari 2023.

Tiga bulan lalu, kumpulan berkata, ia tidak dapat mengeluarkan keputusan suku tahunan untuk 2QFY23 menjelang tarikh akhir 28 Februari, sekali lagi menyebut ‘kehilangan tenaga kerja yang ketara dan kehilangan kakitangan kritikal’ sebagai sebab kelewatan itu.

Kemudiannya, saham Serba Dinamik digantung semula pada 18 Januari lalu selepas Mahkamah Tinggi memberikan perintah penggulungan terhadap kumpulan itu.

Syarikat itu diklasifikasikan sebagai Nota Amalan 17 (PN17) pada 6 Januari lalu, selepas juruaudit luarnya menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan terauditnya untuk tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2021. – nasionalkini.my

50 rantai emas, wang tunai hampir RM1 juta hadiah untuk tunang

IMG 20230601 WA0042

Bergaduh ketika bawa anak ke klinik, duda didenda RM1,000