KUANTAN, 9 Mei – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah berkenan melancarkan ‘Coffee Table Book’ Dewan Negeri Pahang : Memacu Legasi Perlembagaan di Hotel Zenith di sini semalam.
Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Zulkifli Yaacob dan Yang di-Pertua Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.
Buku tersebut merangkumi pelbagai aspek berkaitan Dewan Negeri Pahang termasuklah sejarah, kehalusan adat-istiadat dewan, peranan dalam pengurusan negeri dan kepentingannya dalam landskap politik Malaysia.
Ia juga merangkumi pengenalan mengenai salasilah keluarga Diraja Pahang dan sejarah ringkas Negeri Pahang disertai dengan koleksi foto yang mengagumkan dari awal penubuhan Dewan Negeri Pahang.
Buku ini juga merupakan penerbitan istimewa yang memberi gambaran terperinci tentang sejarah Pahang sebelum dan selepas kemerdekaan Malaysia.
Bersesuaian dengan tajuk Memacu Legasi Perlembagaan, buku ini mendokumentasikan kemajuan Negeri Pahang berteraskan kebijaksanaan Sultan dan khidmat bakti belasan generasi Ahli Dewan Negeri berlandaskan Perlembagaan Malaysia. – nasionalkini.my