in

Kaunselor kongsi pengalaman miliki jantung baharu melalui buku The Bionic Woman

buku dija
The Bionic Woman buku yang boleh mengajak pembaca menghargai nilai nyawa dalam kehidupan.

Oleh Khadijah Mohamad Nor

Denyut jantungku berdebar
Terasa indahnya
Dunia ini kita yang punya.

Akulah mataharimu
Kaulah kekasihku
Kita kan bersama selamanya.

Menghayati bait-bait lirik dalam lagu Casablanca nyanyian Naufal Azrin dan Nuha Bahrin yang pernah menjadi fenomena tahun lalu, mengingatkan kita bahawa jantung adalah organ manusia yang sangat penting dalam memastikan kehidupan seseorang terus berjalan.

Justeru, memiliki jantung yang sihat hakikatnya adalah anugerah Allah yang wajib disyukuri setiap hamba-Nya.

Bagaimanapun, ujian kesihatan yang dilalui seorang Kaunselor Kanan di UniKL-MIAT, Mahyana Mukhtar, tidak membuatkannya menyerah kalah.

Masalah jantung yang dihidapi pada tahun akhir pengajian disebabkan oleh Sick Sinus Syndrome (SSS) iaitu gangguan irama degupan jantung membuatkan Mahyana yang berusia 27 tahun ketika itu perlu menjalani pembedahan.

WhatsApp Image 2023 07 26 at 9.02.42 PM
Penulis (kanan) bersama Mahyana Mukhtar (kiri) dan Prof. Dr Rugayah Haji Tibek selaku salah seorang mentor dalam Gelanggang Penulisan Akademi Bonda Nor.

Keadaan degupan jantungnya yang tidak teratur boleh membawa risiko kematian. Oleh itu, Mahyana perlu menggunakan pacemaker (perentak jantung) bagi membantu untuk menyeimbangkan irama degupan jantungnya.


Sebagai kaunselor baru di Universiti Utara Malaysia (UUM) setelah tamat pengajian Sarjana Kaunseling di UKM, Mahyana bersyukur kerana kos rawatan sebanyak RM30,000 tersebut ditaja sepenuhnya oleh pihak universiti.

“Alhamdulillah, perancangan Allah sangat indah,di saat Dia berikan ujian, Dia juga yang memberi bantuan,” ujar anak kelahiran Kelantan ini ketika ditemui nasionalkini.my.

Menurut wanita hebat yang kini berusia 48 tahun, jantungnya telah dipasang bateri kappa medtronik dengan jangka hayat maksimum selama 10 tahun. Namun Mahyana menggunakannya selama tujuh tahun setengah dengan kadar pergantungan sebanyak 68 peratus.

WhatsApp Image 2023 07 26 at 8.44.40 PM
Mahyana bersama Coach Zul salah seorang jurulatih NLP yang banyak memberi sokongan terhadap penerbitan buku The Bionic Woman.

“Ini bermaksud lebih separuh kehidupan saya bergantung kepada bateri ini. Disebabkan itulah saya menulis buku The Bionic Woman ini untuk berkongsi pengalaman dengan khalayak masyarakat di luar sana.

“Perkongsian ini lebih menjurus kepada bagaimana keadaan saya ketika berdepan ujian dan paling utama bagaimana pergantungan kita kepada Allah yang mengatur segala-galanya.

“Diharap buku ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat agar lebih menghargai nilai kesihatan dalam hidup dan tidak mensia-sianya nyawa yang Allah pinjamkan kepada kita,” jelas beliau.

Mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan buku ini, Mahyana mengakui bersyukur kerana manuskrip The Bionic Woman berjaya melepasi penilaian program Gelanggang Penulisan Akademi Bonda Nor (GPABN) Siri 1 yang disertai hujung tahun lalu.

WhatsApp Image 2023 07 26 at 8.50.11 PM
The Bionic Woman buku yang boleh mengajak pembaca menghargai nilai nyawa dalam kehidupan.

Malah, disebabkan itu juga, Mahyana terpilih sebagai Peserta Terbaik GPABN Siri 1 lantaran komitmennya yang tinggi dalam menyiapkan manuskrip The Bionic Woman.

“Jantung yang tidak mampu berdegup secara normal adalah sebesar-besar kekurangan dan kerisauan kerana jantunglah yang menjadi nadi pada kehidupan. Namun penulis mencoretkannya dengan susunan ayat-ayat santai seolah-olah ia hanyalah ujian ringan.

“Bahkan beliau berjaya buktikan, tanpa kemampuan jantung yang normal, yang terpaksa bergantung pada bateri, beliau tetap mampu hidup dengan cemerlang, menjadi wanita bergelar isteri dan ibu, menjadi seorang wanita berkerjaya, yang mampu terus menabur bakti tanpa jemu,” tulis Bonda Nor, salah seorang penulis motivasi terkenal negara dalam prakata buku ini.

Diterbitkan oleh MS Inspire Consultancy, buku The Bionic Woman terbahagi kepada lima plot yang merangkumi 178 muka surat berwarna. Plot 01 dimulai dengan bab Jantung Hati Baharu, diikuti Plot 02 (Terapi Diri Melalui Ekspresi Seni), Plot 03 (Bionik VS NLP), Plot 04 (Swacinta) dan Plot 05 (Epilog Cinta Tuhan).

Buku ini dijual pada harga RM35 di Semenanjung Malaysia manakala RM39 bagi jualan di Sabah dan Sarawak. Maklumat lanjut boleh hubungi Puan Mahyana di talian 012-6186523. – nasionalkini.my

Datasonic lantik Tengku Abu Bakar pengerusi eksekutif

sebak

Penyampai berita sebak ketika ‘live’ ulas kanak-kanak maut dirempuh kereta