Oleh: Yusuf Shafie
MELAKA, 9 Mei – Hampir 200 nelayan pantai daripada kumpulan B40 di Melaka mampu memasuki kelompok T20 dengan mengusahakan Kebun Kerang di kawasan seluas 21 hektar sepanjang perairan Jasin, Melaka.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia tidak mustahil dicapai 180 nelayan berkenaan sekiranya mereka mengambil bahagian dalam 18 lot ternakan makanan laut itu.
Menurutnya, ia selepas kajian meliputi hidrografi dan proses pantai mendapati, kebun kerang berkenaan dijangka mengeluarkan hasil tuaian sebanyak 25,000 tan setahun.
“Melalui hasil tuaian menggunakan teknologi terbaharu ini, ia dapat menghasilkan ternakan kerang lebih 10 kali ganda dan boleh dituai seawal enam hingga ke lapan bulan berbanding 18 sehingga 24 bulan mengikut cara konvensional.
“Jabatan Perikanan negeri telah menyediakan garis panduan untuk mengawal hasil tuaian iaitu sebanyak 25,000 tan setahun dan kita jangka dalam masa dua tahun pekebun kerang ini akan keluar daripada B40 menjadi T20 yang telah dibuktikan di Penang dan Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Kursus Pengurusan dan Watikah Lantikan Peserta Kebun Kerang di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mengulas lanjut jelasnya, projek rintis negeri itu merupakan inisiatif dan alternatif dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk membantu meningkatkan pendapatan nelayan yang kini terjejas.
“Ini adalah salah satu inisiatif lain difikirkan kerajaan kerana kita tak boleh nak jangkakan hasil tangkapan ikan mengambil kira kemajuan pembangunan akan datang.
“Projek ini juga dilihat mampu menjadikan kawasan terlibat sebagai agropelancongan baharu negeri sekaligus merancakkan lagi ekonomi masyarakat setempat. – nasionalkini.my.