PEKAN, 4 Ogos – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memberi amaran kepada pihak yang didapati melanggar undang-undang, terutamanya membabitkan alam sekitar di negeri ini, bakal berdepan tindakan tegas.
Titahnya, ini termasuklah kerabat diraja Pahang sendiri dan ahli politik.
“Dalam usaha memastikan alam sekitar, flora dan fauna di Pahang sentiasa terjaga, saya memohon agensi penguatkuasaan bertindak tegas.
“Jalankan penguatkuasaan dengan bersungguh-sungguh, saya ada bersama tuan-tuan dan puan-puan semua, jangan risau.
“Jangan ambil rasuah dan jaga integriti, jika ada yang ‘jual nama’, sembahkan (maklumkan) kepada saya.
“Tiada yang kebal daripada undang-undang, yang salah tetap salah, tidak kira kerabat, orang politik mahu pun rakyat jelata,” titahnya.
Tengku Hassanal bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Bersempena Memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, di sini, hari ini.
Tengku Hassanal turut mengingatkan kerabat diraja Pahang bahawa semua projek yang ingin dijalankan secara usahasama dengan kerabat diraja negeri lain di negeri ini perlu mendapat perkenan daripadanya terlebih dahulu.
Katanya, projek pembangunan kerajaan Persekutuan yang ingin dilaksanakan di negeri ini juga perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan Pahang.
“Begitu juga kepada semua ahli politik, projek pembangunan perlu disembah maklum dan mohon perkenan daripada saya selepas berbincang dengan Menteri Besar Pahang,” titahnya lagi.
Dalam pada itu, Tengku Hassanal meminta pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengemukakan laporan impak alam sekitar (EIA) membabitkan projek dirancang di negeri ini kepadanya.
Katanya, hasil laporan EIA itu sangat penting kerana ia akan dipersembahkan untuk perhatian ayahandanya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Sebagai pewaris takhta negeri Pahang, saya tidak berhasrat untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan, namun saya mahu menjadi ‘stake holder’ yang penting, menjadi ‘check and balance’ kepada pembangunan yang akan dilaksanakan.
“Saya mahu prosedur ini terus dilaksanakan walaupun ketika saya menjadi Tengku Mahkota Pahang semula, agar semua pembangunan dirancang akan memberikan manfaat terbaik kepada rakyat dan alam sekitar kekal lestari,” titahnya.- nasionalkini.my