in

Kerajaan Pahang junjung titah Tengku Hassanal

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 5 Ogos – Kerajaan negeri menyambut baik titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim yang mahu agensi penguatkuasaan bertindak tegas terhadap penjenayah alam sekitar di Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, titah itu juga senada dengan polisi kerajaan Pahang ketika ini yang tidak lagi mengeluarkan kompaun terhadap pihak yang menjalankan aktiviti perlombongan, pembalakan dan aktiviti berkaitan tanpa lesen.

“Sebelum ini pun saya sudah membuat penegasan bahawasanya kita tidak akan ada kompaun lagi, kita akan terus bawa (dakwa) ke mahkamah.

“Sebab, bayangkan dalam masa 10 hari ada tiga kes pencerobohan haram dan mereka seolah-olah tidak takut dengan kompaun ini.

“Jadi, saya dah bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat exco dan minta pandangan penasihat undang-undang negeri dan jika ada lagi seperti ini, terus bawa ke mahkamah.

“(Tindakan) ini bukan nak mengaibkan mereka, tetapi bertujuan untuk memberi pengajaran kepada orang lain,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pahang International Scouts Scarf Day 2023 di sini, hari ini.

Semalam, Tengku Hassanal ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Bersempena Memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan bertitah supaya agensi penguatkuasaan mengambil tindakan tegas terhadap penjenayah alam sekitar di Pahang.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah

Baginda bertitah, ini termasuklah kerabat diraja Pahang sendiri dan ahli politik.

“Jalankan penguatkuasaan dengan bersungguh-sungguh, saya ada bersama tuan-tuan dan puan-puan semua, jangan risau.

“Jangan ambil rasuah dan jaga integriti, jika ada yang ‘jual nama’, sembahkan (maklumkan) kepada saya.

“Tiada yang kebal daripada undang-undang, yang salah tetap salah, tidak kira kerabat, orang politik mahu pun rakyat jelata,” titahnya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy juga menyembah maklum titah Tengku Hassanal supaya semua pihak tidak memainkan isu 3R hingga boleh menjejaskan kemakmuran di Pahang.

“(Negara) kita masyarakat majmuk, berbagai kaum, ras dan etnik, dan sepatutnya kita kena berusaha memupuk satu negara bangsa.

“Adalah sangat tidak wajar mana-mana pemimpin membangkitkan isu perkauman, agama kerana ini akan melebarkan lagi jurang antara kita.

“Kita patut hentikan bercakap pasal isu 3R ini dan fokus kepada usaha membentuk negara kita,” katanya.- nasionalkini.my

shila

Shila Amzah dan Ubai selamat disatukan

ezgif.com webp to jpg 8 2

PM bincang isu gaji graduan minggu depan