Oleh Luth Adwa
PONTIAN, 6 Julai – Sebanyak 149 keluarga yang ditawarkan penempatan baharu di Projek Pemajuan Kampung (PPK) di Kampung Parit Makuaseng perlu berpindah segera apabila bekalan elektrik dan air selesai dilakukan sebelum fenomena air pasang.
Ia bagi memastikan penduduk terlibat di Kampung Nelayan dan Kampung Sri Tanjung di Benut serta Kampung Sungai Sanglang tidak berdepan fenomena air pasang besar yang sering melanda kampung mereka pada penghujung tahun ini.
Penduduk Kampung Nelayan, Mohd. Fairoz Seng berkata, penduduk kini hanya menunggu penyambungan bekalan elektrik oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala bekalan air sudah siap dilaksanakan oleh Ranhill SAJ Sdn. Bhd.
“Fenomena air pasang besar boleh menimbulkan banyak kerosakan ke atas barangan seperti perabot dan peralatan elektrik kerana akan memasuki ke dalam rumah penduduk,” katanya di sini hari ini.
Penempatan tersebut yang dikenali dengan nama Taman Datuk Hajah Fatimah Salim dibina pada 2017 dengan kos RM41.5 juta dibiayai oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Kediaman berkembar itu dilengkapi dengan infrastruktur asas termasuk jalan, bekalan air, elektrik dan sistem rawatan kumbahan selain dewan, surau, tadika dan empat unit gerai.
Baru-baru ini Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyerahkan kunci rumah yang bernilai RM150,000 kepada penghuni yang terlibat bagi membolehkan mereka berpindah ke rumah masing-masing.
Seorang lagi penduduk, Abd. Wahab Laitang, 70, berkata, dia dan isterinya, Tuminam Modi, 65, berharap dapat segera berpindah ke penempatan baharu itu sebelum fenomena air pasang besar hujung tahun ini.
“Sejak tinggal di Kampung Nelayan Benut pada 1963, fenomena air pasang besar selalu berlaku sekurang-kurangnya tiga kali setahun,” katanya. – nasionalkini.my