KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyangkal dakwaan kementerian itu mencampuri siasatan nahas pesawat Beechcraft Premier 1 di bandar Elmina, dan perlu menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Beliau berkata, MOT juga tidak ‘menyibuk’ dalam urusan siasatan itu sebaliknya ia adalah tugas hakiki Biro Siasatan Keselamatan Udara (BSKU) di bawah kementerian itu.
“Ada pertanyaan daripada mereka yang mendakwa sebagai ‘pakar-pakar’ mengapa siasatan tidak dibuat oleh polis dan Kementerian Dalam Negeri sebaliknya Kementerian Pengangkutan.
“Ini bukan soal ‘menyibuk’ (campur tangan) tetapi tanggungjawab ke atas nyawa manusia dan keselamatan penerbangan. Ia juga adalah tugas hakiki di bahu BSKU.
“Biro ini melaporkan terus kepada Menteri Pengangkutan, dan ia berada dalam struktur yang ditetapkan.
“Malah, CAAM juga tidak terbabit dalam siasatan kerana ia adalah entiti yang menjaga protokol dan standard keselamatan manakala BSKU, bertanggungjawab bila berlaku keselamatan udara,” katanya, lapor BH.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Seminar Keselamatan Penerbangan anjuran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), di sini, hari ini.- nasionalkini.my