KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) perlu mencari pendekatan baharu bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 (MCY Summit 2023) hari ini, Perdana Menteri berkata kajian terbaharu KPM mendapati minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran itu menurun.
“Harus ada pendekatan baharu seperti mendapatkan pandangan ahli Sains dan badan penyelidikan untuk turun padang ke sekolah, politeknik, (institusi kemahiran) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah vokasional untuk menambah minat anak-anak.
“(Pendedahan) bukan sahaja daripada penceritaan guru-guru, tetapi penekanan terhadap kepentingan Sains, Matematik serta Teknologi.
“Saya harap ini dapat dilaksanakan walaupun telah ada permulaan, tetapi saya selalu menekankan kalau kita guna kaedah mesyuarat dan penyelarasan seperti biasa, kita akan ketinggalan zaman,” katanya lapor BH.
Perdana Menteri berkata, kejayaan negara yang mencatat potensi pelaburan baharu perlu seiring dengan sinergi pendidikan dan latihan.
Katanya, beliau sendiri turut menemui badan induk selain Mesyuarat Majlis Sains Negara serta MIMOS Bhd bagi mencari kaedah untuk memanfaatkan sepenuhnya bidang berkaitan bagi memberi pendedahan dan latihan kepada pelajar.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.- nasionalkini.my