in

Rezeki berganda pengusaha tembikai

IMG 20230602 WA0005
Husaini memeriksa kualiti tembikai jenis 'Boci' yang diusahakan di kebun miliknya di Kampung Ubai, dekat Pekan

Oleh AD Zafir

PEKAN, 2 Jun – Musim panas dan kering adalah waktu terbaik untuk tanaman tembikai dan hasilnya boleh meningkat sehingga 50 peratus.

Dalam pada itu juga, rasa buah jauh lebih manis berbanding pada musim lain.

Keadaan cuaca panas ‘luar biasa’ sejak April lalu menjadikan permintaan terhadap buah tembikai meningkat dan memberikan limpahan rezeki kepada pekebun kecil tembikai di sekitar Kampung Ubai, dekat sini.

Husaini Abdullah, 46, yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun mengusahakan tembikai berkata, cuaca panas ketika ini adalah antara rahmat bagi pekebun tembikai sepertinya.

“Permintaan memang cukup tinggi dan memberansangkan berbanding musim lain.

“Pemborong dan peruncit juga menambahkan jumlah pesanan kerana mereka boleh meraih untung berikutan permintaan tinggi,” katanya ketika ditemui Nasionalkini di sini.

Dia berkata, tempahan tembikai diusahakanmya bukan sahaja datang daripada pemborong dari Kuantan, tapi turut mendapat tempahan dari Negeri Sembilan dan Selangor.

Husaini berkata, tanaman tembikai diusahakannya dua kali setahun, bermula hujung Disember hingga Mei.

Katanya, kebanyakan pengusaha berehat antara bulan Jun hingga Ogos, sebelum kembali mengusahakan tanaman itu pada bulan September.

“Biasanya pertengahan tahun, cuaca tidak menentu, jadi kualiti buah juga tidak berapa memuaskan.

“Paling sesuai macam sekaranglah, kebetulan pula dengan cuaca panas, memang hasilnya (kualiti) sangat bagus,” katanya yang mengusahakan tenbikai jenis ‘Boci’.

Sementara itu, Muhammad Ameer Faris Muhamad Akhir, 25, berkata cuaca panas membantu meningkatkan hasil pengeluaran hasil sehingga berlipat kali ganda.

“Di kebun saya ini terdapat kira-kira 1,500 pokok tembikai dan dianggarkan mampu menghasilkan buah sehingga 6,000 biji sepanjang musim ini.

“Walaupun harga tembikai sekarang ini lebih murah iaitu sekitar RM2 hinggan RM3 sekilogram namun disebabkan kuantiti buah dihasilkan pada musim ini lebih banyak ditambah dengan permintaan tinggi, jadi mampu meraih lebih keuntungan berbanding sebelum ini,” katanya. – nasionalkini.my

Dalang sindiket penipuan cuba rasuah polis kena reman

Khutbah Jumaat angkat tema lebih segar