in

Penduduk dakwa terpaksa guna ‘teh O’ untuk urusan harian

Sebahagian penduduk di Taman Seri Duyung 2, dekat pekan Duyung mendakwa mereka terpaksa menggunakan air paip berwarna seperti 'teh O' sejak lebih sebulan lalu - Gambar hiasan

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 16 Jun – “Sudah lebih sebulan air keluar dari paip macam ‘teh O’ dan air itulah kami terpaksa guna untuk minum dan mandi”

Itu antara luahan penduduk di Taman Seri Duyung 2, dekat pekan Duyung, di sini yang terpaksa menggunakan air paip ‘kotor’ sejak lebih sebulan lalu sehingga menyukarkan urusan seharian.

Seorang penduduk ditemui, Gan Lee Gee, 47, berkata, pada mulanya dia menyangka masalah itu hanya berlaku dalam tempoh singkat, namun ia berlarutan hingga lebih sebulan.

Penduduk Taman Seri Duyung 2, Duyung, Melaka, Gan Lee Gee, 47, terpaksa menggunakan air paip yang kotor sejak lebih sebulan lalu sehingga menyukarkan urusan harian

“Masalah air paip berwarna ‘teh O’ ini sudah berlarutan lebih sebulan, kalau minum pun buat saya, isteri dan anak rasa pening dan batuk-batuk.

“Penapis air di luar rumah pun terpaksa tukar tiga hingga empat kali seminggu, berbanding hanya sekali sebulan sebelum ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang enggan dikenali berkata, masalah sama turut berlaku di kedai kopi diusahakannya di Taman Melaka Raya, Banda Hilir sejak sebulan lalu sehingga dia terpaksa menunggu lama untuk air itu bertukar sedikit cerah.

Masalah air paip bertukar warna seakan ‘teh O’ dihadapi penduduk sejak lebih sebulan lalu

“Saya harap kerajaan negeri dapat segera mengatasi masalah ini.

“Kalau pun ada masalah membabitkan sistem perpaipan, kena carilah jalan penyelesaian, takkan nak biarkan terlalu lama berlarutan masalah ini,” katanya.

Bagi Intan Aleeya Farhana Razali, 21, dia yang turut mengalami kesan sampingan akibat fenomena ‘teh O’ itu hingga menyebabkan badannya berasa gatal setiap kali selepas mandi.

Intan Aleeya Farhana Razali

“Mula-mula saya ingat air tangki yang kotor menyebabkan badan rasa gatal, tapi semua jiran di sini pun mengaku mengalami masalah sama dan dipercayai berpunca akibat kekotoran pada air paip.

“Walaupun masalah itu nampaknya semakin pulih, namun saya harap pihak berwajib dapat mencari punca kejadian ini kerana ia tidak pernah berlaku sejak empat tahun kami tinggal (menyewa) di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dalam satu kenyataan rasmi hari ini memaklumkan, berlaku gangguan bekalan air luar jangka susulan kerja pembaikan paip bersaiz 150 milimeter yang bocor berhampiran Jambatan Duyong.

Antara kawasan terlibat adalah seluruh kawasan Kampung Ladang Semabok, Semabok Dalam, Kampung Jambatan Duyong, Tambak Sebelong dan kawasan sekitar. – nasionalkini.my.

RM2.5 bilion nilai jualan bazar Ramadan, Aidilfitri

kalimah

2 juta kalimah Allah dihasil pelajar tahfiz Madrasah An-Nuur