KUANTAN, 13 Jun – Bermula dengan minat membaiki telefon pintar mendorong Anuar Anasirpudin membuka kedai sendiri di bandar Indera Mahkota, dekat sini.
Anuar yang lebih terkenal dengan panggilan ‘Zaidi’ dalam kalangan pelanggannya memberitahu, proses membaiki telefon pintar juga mencabar tapi dapat menjadikan dirinya lebih fokus.
“Kerja macam ini kena banyak bersabar sebab semuanya kecil, skru dan peralatan lain pun halus, jadi kena teliti dan berhati-hati,” katanya ketika ditemui nasionalkini.my di premis miliknya.
Dia yang kini berusia 40 tahun mengalami gangguan saraf selepas diserang demam panas ketika berusia dua tahun.
Sekarang dia tidak berjalan seperti orang normal.
“Buat masa ini saya tinggal bersama dua beradik lain di sekitar Indera Mahkota 2.
“Kedua adik dah bekerja, mak dengan ayah kami dah lama meninggal dunia,” katanya lagi.
Anuar memberitahu kedai diusahakan itu sudah beroperasi sejak lima tahun lalu.

Sambutan diterima sangat menggalakkan dan mampu memberikan pendapatan memuaskan kepadanya.
“Selain baiki telefon pintar, saya juga menjual pelbagai kad tambah nilai dan aksesori telefon bimbit,” katanya.
Anuar juga bercadang untuk menambahkan lagi barangan jualan di kedai itu.
“Kalau ada modal, saya nak tambah lagi barangan jualan dan perkhidmatan disediakan,” katanya lagi.
Dia turut mempelawa orang ramai yang ingin membaiki telefon pintar berkunjung ke premis miliknya yang terletak di Lorong 48, Indera Mahkota 2.
“Saya juga ingin berjaya macam orang lain, sebab itu saya terus berusaha walaupun dengan kekurangan yang ada, ia tidak menjadi penghalang untuk saya melakukan yang terbaik,” ujarnya. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN