LUMUT, 7 Julai – Ahli keluarga seorang warga berusia 64 tahun memohon pertolongan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) agar memudahkan urusan warga emas itu mendapatkan MyKad yang tidak pernah dimilikinya sejak dilahirkan.
Warga emas tersebut, Safiah Johari dari Kampung Padang Tembak di sini juga merupakan orang kelainan upaya (OKU) ekoran penyakit sawan yang dihidapinya sejak berusia seminggu.
Kakaknya, Naini, 74, berkata, kali terakhir mereka berurusan dengan JPN Seri Manjung adalah pada 2019, namun akibat daripada penularan pandemik Covid-19 pada tahun berikutnya, urusan berkaitan terhenti.
“Sejak itu, tiada lagi urusan antara kami dengan JPN sehinggalah ke hari ini. Pada ketika itu, ada pegawai dari sana yang membantu urusan untuk mendapatkan MyKad, namun setelah dia berpindah ke cawangan lain dan Covid-19, perkara itu tak diteruskan.
“Kami berharap permohonan untuk mendapatkan MyKad untuk adik (Safiah) dapat diteruskan kembali kerana dia langsung tak pernah memilikinya,” katanya kepada KOSMO di sini semalam.
Mengulas lanjut, Naini berkata, dia mengambil tanggungjawab bersama seorang lagi adiknya, Hamshaziah, 62, untuk menjaga Safiah yang kini menetap di rumah pusaka keluarganya bersama salah seorang adik mereka, Ahmad Amri, 56.
Katanya, penyakit sawan yang menyerang Safiah ketika masih bayi menyebabkan adiknya itu tidak dapat bergerak seperti orang lain dan terlantar di atas katil.
“Sebab itu, dia memerlukan penjagaan rapi daripada kami, yang mana ia termasuk urusan berkaitan makan minumnya, menukar pakaian serta memandikannya. Jika mahu duduk sekali pun dia memerlukan bantuan orang lain.
“Bukan itu sahaja, ketiadaan MyKad menyebabkan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) tidak dapat mengeluarkan kad OKU, biarpun pihak berkenaan ada menyalurkan bantuan kewangan RM500 sebulan,” katanya.
Tambah Naini, sebarang urusan melibatkan Safiah sebelum ini hanya menggunakan sijil lahir. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN