KUALA LUMPUR, 7 Julai – Kuala Lumpur City (KL City) mahu melupakan kekalahan memalukan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan bangkit meraih tiga mata dalam aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Pengendali KL City, Bojan Hodak berkata, para pemain The City Boys sudah menyedari kesilapan dilakukan ketika menentang JDT dan yakin pemainnya akan memperagakan aksi lebih baik berdepan pasukan pantai timur itu.
“Selepas perlawanan yang teruk menentang JDT, sudah tentu pemain mahu memberikan sesuatu dan bangkit dalam perlawanan menentang Terengganu.
“Beberapa pemain sebelum ini tidak dapat diturunkan ketika menentang JDT akan kembali dalam pasukan.
“Kami mempunyai lebih kemampuan untuk cuba menundukkan Terengganu,” katanya kepada Sinar Harian.

KL City yang bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Isnin lalu terpaksa akur dengan kekuatan juara sembilan kali Liga Super itu apabila dibelasah 1-6.
Kekalahan besar itu sudah tentu tidak menggembirakan Hodak dan menyifatkan para pemainnya tidak beraksi dengan baik selain dibayangi dengan masalah kecederaan yang melanda tonggak utama. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN