JOHOR BAHRU, 11 Ogos – Kegagalan umat Islam melaksanakan tanggungjawab mengundi sehingga terlantik pemimpin yang membawa kerosakan kepada masyarakat dan negara, adalah berdosa besar dan akan dihisab di akhirat kelak.
Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, berkata hukum mengundi adalah wajib dan menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam memilih pemimpin yang menjaga agama dan mereka yang gagal berbuat demikian melakukan kesalahan mengikut agama.
Katanya, anggapan sesetengah kelompok masyarakat yang menyatakan undi mereka tidak penting kerana ada ramai orang lain akan keluar mengundi, hanya akan membawa kemudaratan kepada masyarakat dan negara akhirnya.
“Mengundi untuk mencari pemimpin berwibawa yang mampu menjaga agama adalah wajib untuk umat Islam.
“Pemimpin berwibawa ialah pemimpin yang menjaga dan mengangkat Islam, berintegriti, cekap, mahir mengurus serta berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab menjaga masyarakat dan negara daripada terjerumus ke kancah kerosakan.
“Tindakan tidak mengundi bukan saja menyebabkan pemimpin yang tidak menjaga Islam dilantik, malah ia mampu membawa kerosakan yang akhirnya memudaratkan sehingga menyebabkan Islam dimusuhi, maka orang itu berdosa besar” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
SPR turut menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor pada 9 September nanti.- nasionalkini.my