in

Tukang masak profesional Taiwan ‘terbang’ ke Sang Riang

Gambar ihsan Sang Riang

BERA, 20 Jun – Seramai 18 tukang masak profesional dari Taiwan sanggup membelanjakan wang sendiri untuk melakukan kerja amal di Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, dekat Triang.

Rombongan itu terdiri daripada tukang masak atau chef dari hotel terkenal di negara berkenaan.

Mereka membeli sendiri tiket penerbangan selain semua kos sepanjang berada di Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang juga ditanggung oleh mereka.

Sebanyak sembilan jenis masakan bertaraf lima bintang disediakan rombongan tukang masak itu.

Gambar ihsan Sang Riang

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man yang turut hadir pada kunjungan itu berkata, rombongan dari Taiwan turut dibawa menikmati masakan tradisional Pahang dan mengunjungi tempat menarik sekitar bandar Triang dan Bera serta Mentakab, dekat Temerloh.

Yu Man turut memaklumkan Sang Riang adalah penerima ‘Anugerah Pelancongan Kebudayaan’ pada tahun 2022, dan tahun ini akan menjadi calon bagi ‘Anugerah Pelancongan Asia Terenggara’ yang dianjurkan Tourism Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Sang Riang, Yap Yoke Moey berkata, kumpulan itu menyediakan masakan istimewa untuk 600 tetamu dan penghuni rumah kebajikan berkenaan.

“Bukan tugas mudah untuk menyediakan masakan berkualiti dan istimewa untuk jumlah orang yang ramai.

“Namun, usaha 18 tukang masak atau chef ini wajar diberi pujian dan dihormati.

“Kerja amal dan kesungguhan ditunjukkan mereka sangat mengharukan kami di Sang Riang,” katanya.

Antara menu disediakan adalah puding ayam sos tomato, kulat hitam goreng, udang goreng bersalut tepung jagung dan telur goreng bersama kobis panjang.

Turut dimasak oleh rombongan chef berkenaan adalah kepingan ikan rangup, kobis Si Chuan, kacang panjang gaya Kwang Ton serta hidangan pencuci mulut istimewa.

Gambar ihsan Sang Riang

Semua menu itu memenuhi keperluan nutrisi penghuni Sang Riang dan menyelerakan pengunjung yang hadir ketika rombongan berkenaan singgah di rumah kebajikan itu.

Program itu mendapat sokongan penuh Ketua Pegawai Eksekutif Emperor City Restaurant, Datuk Bon Kok Sang yang juga penyelaras program lawatan tukang masak dari Taiwan ke Sang Riang.

Selain Kok Sang, kunjungan tukang masak dari Taiwan itu turut dibantu Leong Fong Chin yang mencadangkan rombongan berkenaan singgah di Sang Riang untuk melakukan kerja amal. – nasionalkini.my

Statistik DOSM merisaukan

Busker hilang mata pencarian lepas bilik sewa terbakar