Oleh AD Zafir
KUANTAN, 1 Ogos – Seorang suami sanggup menumpukan sepenuh perhatian terhadap isterinya yang kini terlantar akibat menghidap kanser paru-paru di Perumahan Pandan Sejahtera 3, dekat Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman.
Isterinya, Nur Izah Abd Hamid, 37, menghidap penyakit kronik tahap empat itu susulan perebakan sel kanser yang mula menyerang tulang belakang dan bahagian otaknya.
Lelaki terbabit, Muhammad Farhan Mat Salleh berusia 38 tahun itu cekal menguruskan sepenuhnya urusan hospital isterinya, mengambil alih tugas mengurus rumahtangga termasuk pengurusan dua orang anaknya yang masih kecil.
Muhammad Farhan berkata, tanggungjawab tersebut dipikul sepenuhnya sejak isterinya disahkan oleh pihak hospital menghidap kanser sejak lima tahun lalu.
Menurutnya, sejak mengidap penyakit tersebut isterinya (Nor Izah) banyak menghabiskan masa terlantar dan tidak dapat bergerak normal seperti dahulu, malahan ada kalanya terpaksa menggunakan alat bantuan oksigen serta berat badannya juga semakin susut.
“Setiap hari saya akan menguruskan keperluan di rumah termasuk memasak dan membasuh pakaian dengan dibantu oleh ibu mertua yang sentiasa berulang-alik dari kampung FELDA Chini, dekat Pekan.
“Kami pun tidak menyangka, perkata ini mula berlaku sekitar tahun 2018 yang mana Nor Izah hanya selalu mengadu sakit belakang hinggakan sering mendapatkan perkhidmatan urutan dan kebiasaanya akan hilang.
“Namun begitu selepas setahun menahan kesakitan, sekitar 2019, dia mengambil keputusan mendapatkan rawatan di hospital pakar kerana keadaan semakin teruk dan kemudiannya disahkan kanser paru-paru tahap empat berikutan penyakit itu telah merebak hingga ke tulang belakang,” katanya ketika ditemui di kediamannya.
Nor Izah merupakan seorang penjawat awam yang masih lagi berkhidmat di pejabat kerajaan negeri.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata yang berusia 11 tahun dan empat tahun.
Terbaru, nasib keluarga itu mendapat perhatian Pengerusi Persatuan Ziarah Sahabat Kanser, Zaki Yahya bersama rombongannya yang hadir menziarahi Nor Izah bagi memberi kata-kata semangat dan menghulurkan sedikit sumbangan.
Bercerita lanjut, Muhammad Farhan berkata, isterinya itu perlu mendapatkan rawatan kimoterapi berbeza dengan pesakit kanser yang lain memandangkan dia perlu menjalaninya sepanjang tahun kehidupannya.
Jelasnya, selagi ada kudratnya dia akan terus berusaha bersama-sama keluarga membantu isterinya untuk melawan penyakit tersebut dan berharap memperoleh keajaiban daripada Allah SWT.
“Saya dan ibu mertua memang selalunya tidak meninggalkan Nor Izah secara sendirian malahan kami memang akan sentiasa menemaninya sambil memberi kata-kata semangat.
“Ini kerana ada ketika Nor Izah mudah merasa ketakutan untuk berdepan dengan penyakitnya itu dan mula menyerah serta putus asa untuk melawan penyakitnya.
“Bila tengok keadaannya, saya juga tidak kuat tetapi saya sentiasa memohon pada Allah untuk terus diberikan kekuatan, ” katanya.
Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohamad Farhan di talian 0193598606 untuk menyalurkan bantuan.- nasionalkini.my