KUALA TERENGGANU, 20 Jun – ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’ adalah peribahasa yang tepat bagi menggambarkan pengorbanan seorang isteri yang menghidap kanser usus tetapi dalam masa yang sama menguruskan suami yang turut sakit.
Norhayati Harun, 43, bagaimanapun tidak pernah mengeluh ketika menjaga suaminya, Mohd Husaini Husin, 42, yang menghidap penyakit kencing manis menyebabkan kaki kiri dipotong pada 31 Mei lalu.
Norhayati ketika ditemui Harian Metro berkata, dia terpaksa menguruskan suami yang tidak lagi mampu berjalan selepas kaki dipotong pada paras lutut.
“Saya disahkan menghidap penyakit kanser usus tahap empat enam bulan lalu dan menjalani pembedahan memotong usus akhir tahun lalu. Malah, saya diuji apabila kesihatan suami yang menghidap penyakit kencing manis sejak 18 tahun lalu semakin teruk.
“Kini saya bukan sahaja perlu bertarung dengan penyakit kanser usus, malah dalam masa sama perlu menguruskan suami,” katanya yang ditemui di Kampung Gong Gemia di sini, semalam.
Norhayati berkata, sebelum ini mereka bergantung sepenuhnya kepada suami bagi mencari sumber pendapatan keluarga.
Menurutnya, suami sebelum ini mengambil upah membaik pulih barangan elektrik dengan pendapatan tidak menentu.
Norhayati berkata, dia kini buntu memikirkan sumber kewangan bagi membeli lampin pakai buang, susu dan ubat selepas suami tidak lagi bekerja.
“Kami perlu RM1,000 sebulan untuk beli susu khas, lampin pakai buang dan ubat suami manakala saya perlukan pakai beg plastik khas di perut.
“Selain itu, saya juga perlukan katil dan kerusi roda bagi memudahkan tugas mengurus suami ke bilik air dan bergerak dalam rumah,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun BSN 111002900068412 atas nama Norhayati Harun. – nasionalkini.my